Home Madu Asli Agama Islam OneXOX Resepi Masakan

Sunday, 29 June 2014

free glitter text and family website at FamilyLobby.com

Bagi mereka yang merentasi perjalanan mencari keredhaan Allah SWT, inilah masanya untuk melatih diri dan membiasakan diri dengan kehidupan yang sulit dan payah. Mengasuh diri dengan menahan diri daripada sentiasa menikmati apa yang diingini dan disukai. Dengan itu diri mudah dikuasai (dikawal) dan dilentur.
Puasa adalah cara yang praktikal dalam Tarbiyah Rabbaniyah (pendidikan berteraskan ketuhanan). Ia adalah suatu pendekatan yang mempunyai kesan yang mendalam dalam pembentukan dan pemurnian diri manusia. Latihan seperti ini dapat menjadikan mukmin seorang hamba Allah SWT yang benar-benar patuh serta tunduk kepada Allah Rabbul 'Alamin.

Keimanan bukan sekadar omong kosong atau sekadar teori; menggembar-gemburkan tentang Tarbiyah Rabaniyyah dengan lidah ataupun ungkapan yang enak didengar telinga sahaja. Malah mestilah wujud perlaksanaan amali yang dapat membersih dan memurnikan jiwa serta hati daripada segala kotoran dan karat-karat dosa dan seterusnya menguatkan hakikat keimanan itu sendiri di samping membawa seseorang itu mencapai tahap kesempurnaan.
Puasa ialah salah satu latihan kerohanian yang amat berkesan. Ia dapat memperkuatkan iradat (kemahuan). Ia memastikan dorongan iman dan taqwa sebagai penguasa kepada keperluan-keperluan jasad. Dengan demikian jasad hanyalah acuan dan rangka yang menurut tuntutan dan hati nurani.
Puasa dapat menghaluskan perasaan, mengembangkan kecenderungan ke arah keluhuran, membersihkan fikiran dan memurnikan hati serta menjernihkan jiwa dan perasaan.
Oleh kerana itulah ganjaran orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan penyerahan diri kepada Allah SWT pada hari-hari dan saat-saat yang panas terik ialah mereka akan dibebaskan daripada kepanasan hari Kiamat yang tiada tolok bandingnya. Sesungguhnya ganjaran Allah SWT itu akan diberi mengikut jenis amal yang dilaksanakan. Sekiranya jenis amal itu baik, maka ganjarannya juga baik tetapi sekiranya jenis amal itu buruk, maka pembalasannya juga buruk dan menyakitkan. Allah SWT berfirman;
"Barang siapa yang beramal sebesar zarah kebajikan ia pasti akan melihat ganjarannya dan barang siapa yang beramal sebesar zarah kejahatan pasti juga akan melihat pembalasannya." [Az-Zalzalah]
Perbandingan suasana di antara dua tempat itu begitu besar sekali malah perbezaan di antara kepanasan dunia dengan kepanasan akhirat, di antara kesulitan berpuasa pada hari yang panas terik dengan kesulitan dan kepayahan pada hari Kiamat adalah perbandingan yang tiada taranya. Tetapi itulah pemberian Allah SWT kepada orang yang sanggup berpuasa pada hari yang begitu panas dengan penuh keikhlasan.
Sayyidatina Aisyah RA berkata:
"Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ''Pada hari Kiamat, manusia dibangkitkan dalam keadaan berkaki ayam dan bertelanjang.' Aku bertanya: 'Ya Rasulullah, tidakkah orang-orang lelaki dan perempuan pandang memandang antara satu sama lain?' Jawab Rasulullah SAW; 'Wahai Aisyah, keadaan hari itu lebih besar, lebih dahsyat untuk (tidak) menyebabkan seseorang itu ingin melihat kepada yang lain." [HR Bukhari]
 Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah SWT; "Pada hari itu setiap orang mempunyai urusan yang menjadi perhatian dan penumpuannya." ['Abasa: 37]
Rasulullah SAW juga bersabda;
"Sesungguhnya peluh manusia pada hari Kiamat melimpah-limpah di bumi sedalam tujuh puluh hasta dan ia sampai kepada mulut-mulut dan telinga-telinga manusia." [HR Muslim]
Bencana yang besar ini dapat dihalang oleh seseorang Mukmin dengan keimanan yang sebenarnya kepada Allah SWT, iltizamnya yang hakiki terhadap agamanya dan meletakkan sangka baik terhadap Allah SWT di samping ia berusaha mendekatkan dirinya kepada Allah Azzawajalla dengan puasa, solah dan segala amal ibadah serta ketaatan yang lain. Inilah yang menyebabkan Rasulullah SAW berpesan kepada Sayyidatina Aisyah dengan sabdanya:
"Wahai Aisyah, hendaklah engkau sentiasa mengetuk pintu syurga dengan lapar."
Rasulullah SAW telah mengisyaratkan suatu maqam untuk mereka yang telah berjaya mengawal hawa nafsu mereka dan keinginan-keinginan mereka.
Dari Sahl dari Nabi bersabda :Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang bernama Ar Rayyan, orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, dan selain mereka tidak akan masuk melaluinya. Dikatakan : Dimanakah orang-orang yang berpuasa? Maka mereka pun berdiri. Dan selain mereka tidak akan memasukinya . Maka jika orang-orang yang berpuasa sudah memasukinya ditutuplah pintu itu dan tidak seorangpun akan memasukinya, Dan barangsiapa yang telah masuk ia pasti minum dan barangsiapa yang minum ia tidak akan kehausan selamanya. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW menjelaskan bahawa puasa juga memberi syafaat kepada tuannya pada hari yang penuh dengan kecemasan dan ketakutan itu. Sabda baginda Rasulullah SAW:
Puasa dan Al Qur'an memberi syafaat kepada hamba Allah pada hari kiamat. Puasa berkata, 'Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya makan minum dan memenuhi syahwatnya pada siang hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.' Dan Al Qur'an pun berkata, 'Aku telah menghalanginya tidur pada malam hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.' Lalu syafaat keduanya diterima Allah.”( H.R Ahmad)
Maka hendaklah setiap mukmin bermujahadah terhadap dirinya dan melatih dirinya dengan berpuasa. Sesungguhnya ia merupakan satu amalan yang begitu kuat dan penting untuk pembersihan diri (tazkiah an-nafs) agar kelak ia mampu untuk merentasi Hari Kiamat dengan penuh aman dan mendapat pemeliharaan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala yang berterusan.
___________
Tulisan Cikgu Azmi Bahari, seorang motivator HALUAN. Tulisan-tulisan beliau yang lain boleh dicapai di laman blogKehidupan & Keimanan.

No comments:

Post a Comment