Dilarang Berpuasa Sehari Atau Dua Hari Sebelum Bulan Ramadhan
Perlu diingat bahawa seseorang itu dilarang berpuasa mendahului sehari atau dua hari sebelum masuk bulan Ramadhan jika puasa tersebut bukan yang dilaziminya atau menjadi kebiasaaannya. Iaitu dia hanya berpuasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan dengan niat khusus untuk menyambut Ramadhan dan seumpamanya, perbuatan ini adalah ditegah.
Dari Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda,
لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
“Janganlah mendahulukan Ramadhan dengan sehari atau dua hari berpuasa kecuali jika seseorang memiliki kebiasaan berpuasa, maka berpuasalah.”
(Hadith Riwayat Muslim no. 1082)
Larangan berpuasa Satu atau Dua Hari Sebelum Ramadhan
Imam Ibn Rajab al-Hanbali berkata, berpuasa di akhir bulan Sya’ban ada tiga bentuk:
Pertama – Jika berniat puasa satu atau dua hari sebelum Ramadhan sebagai suatu langkah berhati-hati, maka perkara ini dilarang agar tidak menambah hari berpuasa Ramadhan yang tidak disyariatkan.
Kedua – Jika berniat untuk berpuasa nazar atau mengqadha puasa Ramadhan yang belum ditunaikan atau membayar kafarah (tebusan), maka kebanyakan ulama membolehkannya.
Ketiga – Jika hanya berniat berpuasa sunnah semata, maka ulama yang mengatakan harus ada pemisah antara puasa Syaaban dan Ramadhan melarang hal ini walaupun itu bertepatan kebiasaan dia berpuasa, di antaranya adalah Imam Hasan al-Basri.
Namun yang patut dilihat apakah puasa tersebut adalah puasa yang biasa dilakukan atau tidak. Ini berdasarkan teks hadis di atas. Jadi jika satu atau dua hari sebelum Ramadhan adalah kebiasaan dia berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis, maka itu dibolehkan. Namun jika tidak, itulah yang dilarang. Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam Asy-Syafi’i, Imam Ahmad dan Al-Auza’i. (Lathoif Al Ma’arif, 257-258)
Memisahkan di antara puasa wajib dan puasa sunat. Dan memisahkan di antara amalan yang wajib dan sunat adalah sesuatu yang disyariatkan. Sebagaimana Rasulullah ﷺ melarang menyambungkan solat wajib dengan solat sunat tanpa diselangi dengan salam atau zikir terlebih dahulu. (Lathoif Al Ma’arif, 258-259)
Hikmah Dari Larangan
Larangan berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan memberi hikmah bahawa seseorang yang menyambung puasa tersebut boleh melemahkan dirinya untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Sementara orang yang telah berpuasa sejak awal bulan, maka dia telah terbiasa puasa sehingga kelemahan akibat berpuasa akan berkurangan.
Al-Qori berkata, “Larangan (yang terdapat dalam hadis) tersebut sebagai bentuk kasih sayang kepada umat agar tidak lemah dalam melakukan kewajiban puasa Ramadhan, sehingga dapat melaksanakannya dengan semangat. Adapun bagi orang yang telah banyak berpuasa di bulan Sya’ban, maka dia telah terbiasa sehingga hilanglah rasa berat itu.”
Antara hikmah larangan ini disebut oleh Dr. Abdul Karim Zaidan adalah agar tidak tercampur antara puasa sunat dan puasa fardhu, iaitu puasa Ramadhan. Larangan ini sebenarnya tidak terpakai bagi mereka yang adat kebiasaaanya berpuasa sunat bertepatan dengan hari tersebut.
Ada juga yang mengatakan hikmah larangan untuk melakukan puasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan adalah kerana puasa Ramadhan kewajipannya bergantung pada Ru’yat Hilal (Pemerhatian anak bulan), sesiapa yang (sengaja dan bukan puasa adat) mendahului bulan Ramadhan dengan sehari atau dua hari puasa seolah-olah dia berusaha memutuskan hukum tersebut, iaitu hukum kewajipan berpuasa Ramadhan mengikut Ru’yat Hilal, demikian penakwilan (fuqaha’) mengenai hikmah larangan ini sebagaimana yang disebutkan dalam kitab ‘Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarah Jami’ Tirmizi’. [rujuk al-Mufassal, Dr. Abdul Karim Zaidan, bab mendahului Ramadhan denga sehari atau dua hari puasa].
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
credit to:SHAFIQOLBU
No comments:
Post a Comment